Jumaat, 16 Januari 2009

Kecacatan dalam besi keluli

Besi adalah merupakan bahan utama dalam pembinaan dan pembuatan. Besi yang mempunyai pelbagai kegunaan juga disebut dalam al-Quran dalam surah al-hadid ayat 25. Al-hadid bermakna besi, ada surah khusus untuk besi dalam al-Qur'an. Teknologi pembuatan besi memang sudah lama, tapi malangnya teknologi ini sekarang sudah tidak lagi dipelopori oleh orang Islam.

"25] Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-hadid)".

Dalam proses pembuatan besi/keluli, kita tidak dapat mengelakkan dari berlakunya ketakselanjaran atau ketaksempurnaan. Secara umum semua makhluk ciptaan Ilahi mempunyai ketakselanjaran. Manusia sendiri mempunyai ketaksempurnaan. Manusia yang paling sempurna hanyalah Nabi Muhammad saw.

Ketakselanjaran ditakrifkan sebagai suatu yang terputus atau terganggu dalam struktur bahan yang biasa. Ketakselanjaran dalam logam boleh jadi lubang, keporosan, retakan, bendasing atau apa-apa yang memutuskan keselanjaran. Ianya boelh berada di permukaan atau dalam logam tersebut. Ianya juga memberi kesan kepada kebergunaan sesuatu produk.

Jika ketakselanjaran tidak dapat diterima oleh kod, standad atau spesifikasi maka kita katakan kecacatan. NDT boleh menunjukkan petanda kehadiran ketakselanjaran.

3 kategori ketakselanjaran
Ketakselanjaran warisan – iaitu yang dijumpai dalam ingot.
Ketakselanjaran prosesan - umpamanya ketakselanjaran dari proses-proses tuangan, tempaan, gelekan, kimpalan, canaian, rawatan haba dan saduran.
Ketakselanjaran terhasil oleh perkhidmatan seperti retakan, kakisan, hakisan, kehausan, herotan dll.