Khamis, 14 Februari 2008

Pengukur ketebalan ultrasonik diragui

Begitulah apa yang dikomen oleh pembentang kertas kerja dari DOSH di persidangan NDT & Corrosion Management 4-5 Sep 2007. Adalah dikatakan bahawa keputusan pengukur ketebalan UT tidak menentu, tidak dapat menunjukkan kadar kakisan yang betul. Contohnya bacaan tahun semasa lebih tinggi dari bacaan dahulu, seolah-olah tebal paip meningkat. Dalam mesyuarat lembaga pengarah MSNT pun kami ada bincangkannya bagaimana untuk menyelesaikan masaalah ini.

Sebelum memikirkan apa-apa faktor yang menyebabkan ralat ini, perlu diketahui bahawa ralat pengukuran ketebalan UT ialah sekitar 0.5 mm (Drury, 1997). Jika ianya lebih dari nilai ini maka kita perlu memikirkan tentang bagaimana untuk membetulkannya. Secara umum ralat ini boleh disebabkan oleh;
1- prosidur
2- alat ultrasonik
3- operator
4- spesimen dan persekitaran

Ramai yang tidak mengetahui peri pentingnya satu prosidur itu diuji dan disahkan oleh orang yang berkelayakan (biasanya UT peringkat 3). Mereka menganggap pengukuran ketebalan adalah sesuatu yang sangat mudah. Bagaimanapun bila kita menganggap sesuatu itu sangat mudah maka kita banyak ambil mudah dan jalan pintas. Prosidur biasanya akan menyatakan alat yang perlu digunakan, tentukuran (termasuklah blok tentukuran), prob, julat pengukuran, ujian 'mock-up' dan lain-lain. Prosidur yang dibuat nanti perlu disahkan dan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat kontraktor dan pemilik.

Alat hendaklah berkeadaan baik semasa ujian dilakukan, telah ditentukur secara berkala. Biasanya alat digital tak perlu ditentukur kecuali sekali dalam setahun. Selain itu prob yang digunakan perlu dipiawaikan, contohnya frekuensi perlu dipilih mengikut kesesuaian tebal atau bahan yang diuji. Prob 'twin crystal' biasanya sesuai untuk pengukuran tebal kurang dari 30mm. Bila tebal melebihi 30mm, prob 'single crystal' perlu digunakan. Selain itu blok tentukuran perlulah mewakili bahan yang hendak diuji.

Operator perlulah layak dan mempunyai sijil kelayakan UT peringkat 1 yang menurut kehendak persijilan ISo9712.

Keadaan permukaan spesimen perlu mempunyai kelicinan yang baik. Permukaan yang kasar akan mempengaruhi bacaan. Kekasaran melebihi 1 mm tidak memungkinkan ujian UT dilakukan. Suhu spesimen pula mempengaruhi halaju bunyi dan pembetulan dalam bacaan perlu dibuat.

Tiada ulasan: