Memaparkan catatan dengan label UTMr konkrit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UTMr konkrit. Papar semua catatan

Selasa, 29 Ogos 2017

Global Congress on Construction, Material & Structural Eng. UTHM at Millesime Hotel Iskandar Puteri.

Alhamdulillah telah berpeluang menghadiri majlis ilmu di Johor pada 28-29 Ogos 2017.
Antara maklumat menarik dari ucapan-ucapan dasar ialah seperti berikut


Antara persembahan dari pembentang-pembentang Nuklear Malaysia







Isnin, 6 Julai 2015

Buku Baru

Baru sahaja terbit buku dengan tajuk UTM terhadap konkrit struktur. Alhamdulillah.
Harga buku RM40 sahaja dan boleh dibeli di Kedai Buku DBP di Jalan AU3/1, Ampang, Hulu Klang. Hubungi Puan Emilia 03-4101 2486.

Isnin, 12 Januari 2015

Ultra High Performance Concrete (UHPC)

UHPC ialah konkrit dengan kekuatan ultra 150-200 N/mm2. Nisbah air/simen serendah 0.17. UHPC merupakan satu teknologi baru dalam pembuatan konkrit. Dura Technology Sdn. Bhd.  merupakan syarikat terulung dalam bidang ini.

Pada 7 Jan 2015 satu seminar dalaman telah diadakan di Nuklear Malaysia yang membincangkan tentang potensi penggunaan konkrit ini dalam industri nuklear.



Oleh kerana UHPC merupakan bahan termaju maka NDT juga adalah baru dalam bidang. Peluang penyelidikan NDT terhadap bahan ini masih luas. Antara ciri menarik UHPC ialah 'like concrete' 'like steel'. Hubungi tegasan-terikan bagi bahan menyerupai keluli iaitu ada sifat elastik dan sifat plastik.

Kajian awal NDT menggunakan ultrasonik menunjukkan halaju ultrasonik dalam UHCP sangat tinggi iaitu sekitar 5000 m/s yang menghampiri halaju dalam besi tuang. UHPC agak homogen dengan saiz ketakhomogen kurang dari 1mm.

Khamis, 18 September 2014

International Construction Week (ICW) 2014

Sedang berlangsung di PWTC dari 17 - 23 Sep 2014. Ada pameran dan seminar percuma berkaitan dengan industri binaan.









Selasa, 4 Disember 2007

Pengukur Tebal Penutup Elektromagnet (Electromagnetic Cover meter)

Prinsip asas
Prinsip asas ialah kehadiran keluli dalam konkrit memberi kesan ke atas medan magnet. Prob pengesan electromagnet diimbas ke atas permukaan konkrit bertetulang. Kehadiran tetulang akan mempengaruhi bacaan meter alat. Bila prob digerakkan sehingga bacaan maksimum diperolehi, tetulang adalah berkedudukan selari dengan jajaran prob di bawahnya. Bacaan menunjukkan tebal penutup konkrit di atas tetulang bagi diameter tetulang yang disetkan.

Kegunaan utama
Ia digunkan untuk menentukan kehadiran, kedudukan dan kedalaman tetulang dalam konkrit atau batu bata. Alat terkini boleh memberikan bacaan diameter tetulang jika kedalaman tetulang diketahui.

Kelebihan
Alat ini ringan dan mudah alih serta lasak dan akan memberikan bacaan yang dipercayai sekiranya konkrit tidak terlalu padat dengan tetulang.

Kelemahan
Kehadiran tetulang yang rapat, keluli pengikat (melintang), dawai dan bahan ferromagnetic yang lain boleh memberikan keputusan yang mengelirukan.
Contoh susunan tetulang yang tidak kemas dan teratur. Ini akan menghasilkan ketebalan penutup konkrit yang tidak sekata. Ada bahagian yang terlalu dekat dengan permukaan dan ada yang jauh. Kebanyakan spesifikasi biasanya menghendaki tebal penutup tidak kurang dari 1" agar tetulang tidak mudah berkarat.
Alat pengukur tebal penutup elektromagnet digunakan bagi menentukan kedudukan tetulang.

Rabu, 14 November 2007

Prinsip asas ujian Ultrasonik

Kaedah akustik adalah kaedah UTMr yang tertua yang digunakan untuk menilai kualiti suatu bahan. Mengetuk sesuatu objek dengan tukul dan kemudiannya mendengar bunyi yang terhasil merupakan kaedah umum untuk mengesan kelompangan, retakan atau delaminasi (Kim 1990).

Ujian Ultrasonik telah menjadi kaedah yang diterima pakai untuk pemeriksaan berbagai jenis produk terutamanya bahan yang dibuat dari logam. Saiz dan kedudukan kecacatan boleh ditentukan dengan mengukur masa perjalanan dan amplitud gelombang ultrasonik yang merambat di dalam bahan yang diuji. Manakala jenis kecacatan dapat ditentukan dengan mengkaji bentuk gelombang yang dipantulkan oleh kecacatan tersebut disamping mengetahui saiz dan kedudukannya.

Rambatan gelombang ultrasonik dalam konkrit dipengaruhi oleh sifat fizikal konkrit tersebut. Secara umum, halaju gelombang berubah dengan perubahan ketumpatan dan modulus elastik sementara amplitud gelombang pula berubah terhadap ketakhomogenan konkrit. Selain dari itu gelombang ultrasonik terpantul atau terserak oleh ketidaksinambungan (seperti retakan, keliangan dan lain-lain) dan juga tetulang yang disebabkan oleh perbezaan impedan akustik (Kim 1990).

Teknik ultrasonik adalah langsung tidak merosakkan bahan yang diperiksa. Pengukuran parameter ultrasonik tidak bergantung kepada dimensi bahan dan pengukuran ini boleh dilakukan berulang kali. Disamping peralatannya yang mudah alih dan sesuai bagi ujian lapangan ia juga tidak membahayakan pengguna seperti pengendalian sinar radioaktif.

Walau bagaimanapun perlu difahami bahawa kaedah ultrasonik seperti juga lain-lain kaedah UTMr, bukan merupakan ujian mutlak, tetapi lebih merupakan ujian perbandingan. Negara-negara seperti Amerika dan Britain telah mempunyai piawai berhubung dengan penggunaan ultrasonik dalam konkrit (ASTM C597 dan BS 1881 Bhg. 203). Malaysia masih lagi dalam tahap draf, manakala Jepun belum lagi mempunyai piawai yang berkaitan tetapi sudah terdapat panduan yang dihasilkan oleh Persatuan Seni Bina Jepun (Terada 1991).

Pemeriksaan tiang konkrit dengan kaedah pembalikan gema
Alat ultrasonik menggunakan kaedah resonan bagi menentukan modulus dinamik bagi sampel makmal
Alat ultrasonik yang paling biasa dipakai di lapangan menggunakan kaedah transmisi gelombang

Rabu, 26 September 2007

Pemeriksaan Visual

Pemeriksaan Visual merupakan langkah pertama dalam peninjauan struktur. Tujuan tinjauan ini ialah untuk melihat sebarang ketakselanjaran permukaan. Ciri visual mungkin ada hubungan dengan kehalusan buatan, kebolehkhidmatan struktur dan kemerosotan bahan. Adalah penting bagi pemeriksa untuk membezakan antara pelbagai jenis retakan atau lain ketakselanjaran yang dijumpai. Antara peralatan yang digunakan semasa pemeriksaan visual alat tukul khusus, pengukur lebar retakan, kanta pembesar, teropong dan kamera.

Bila memeriksa jambatan, tumpuan diberikan pada bahagian bawah jambatan terutama kawasan tegangan. Bagi bangunan, tinjauan mungkin boleh dimulakan dari luar bangunan dan diikuti dalam bangunan dengan menumpukan perhatian pada kawasan penjuru atau mana-mana kawasan tegangan pada bangunan.

Kelebaran, panjang dan kedalaman retakan merupakan antara kriteria penerimaan. Ada ketika panjang retakan dinyatakan dalam bentuk panjang retakan per unit luas atau dikenali sebagai ketumpatan retakan. Manakala kedalaman retakan hanya boleh ditentukan melalui kaedah ultrasonik. Begitu juga contohnya jika ada tanda-tanda kebocoran yang dikesan. Jika kebocoran sehingga menampakkan titisan air yang melalui konkrit, ini bermakna ianya satu kecacatan yang serius yang memerlukan pembaikan segera atau permeriksaan yang lebih terperinci menggunakan kaedah UTMr lain.

Ahad, 26 Ogos 2007

UTMr BAGI STRUKTUR KONKRIT

Kualiti konkrit biasanya dinilai dari segi kekuatan. Kaedah yang paling sesuai untuk menentukannya adalah dengan mengukur kekuatan mampatan (Neville 1981; Mindness & Young 1981). Bagaimanapun kaedah ini merosakkan bahan yang diukur dan tidak boleh digunakan untuk konkrit muda. Kajian yang telah dan sedang dilakukan mendapati beberapa kaedah UTMr boleh digunakan untuk menentukan kekuatan mampatan konkrit. Selain daripada kekuatan bahan, modulus elastik, deformasi, ketidaksinambungan dan keadaan tetulang adalah juga merupakan parameter-parameter yang menentukan kualiti konkrit yang boleh dinilai dengan kaedah UTMr. Jadual 1 menunjukkan parameter-parameter yang berkaitan dengan struktur konkrit yang boleh ditentukan dengan kaedah UTMr.

Selain daripada parameter-parameter yang dinyatakan di atas, disenaraikan juga parameter kritikal lain yang perlu diberi perhatian dalam membuat penilaian terhadap sesuatu struktur (Jadual 2). Rajah 1 menggambarkan sebahagian daripada kecacatan-kecacatan yang boleh dikesan atau parameter-parameter yang boleh ditentukan menggunakan UTMr pada struktur konkrit.

Jadual 1: Pengukuran atau pengesanan yang boleh dilakukan oleh UTMr (Jadual disalin daripada kesimpulan 'National Seminar on NDE of Non-Metallic Materials (Concrete)', 25-26 Jun 1991, Singapura)
Jadual 2: Pemeriksaan struktur (Jadual disalin daripada kesimpulan 'National Seminar on NDE of Non-Metallic Materials (Concrete)', 25-26 Jun 1991, Singapura).



Rajah 1: Jenis-jenis kecacatan yang boleh dikesan dan parameter-parameter yang boleh diukur oleh UTMr (Rajah disalin daripada kesimpulan 'National Seminar on NDE of Non-Metallic Materials (Concrete)', 25-26 Jun 1991, Singapura).

Sabtu, 18 Ogos 2007

UTMr mungkin boleh mengesan sesuatu sebelum runtuh



Tahun ini kita dikejutkan dengan 2 kejadian jambatan runtuh; iaitu jambatan lama di Amerika Syarikat dan jambatan sedang di China. Datuk Samy pun minta semua jambatan di X-ray iaitu guna kaedah RT.