Memaparkan catatan dengan label keselamatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keselamatan. Papar semua catatan

Rabu, 27 Januari 2010

Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO)


Pengendalian radas sinaran dalam kerja radiografi memerlukan orang yang berkelayakan iaitu perlu menghadiri kursus dan lulus ujian kelayakan serta mempunyai tempoh pengalaman kerja. setelah itu baharu ia digelar pengendali berlesen. Ia seumpama pemandu kereta yang perlu lulus ujian teori dan amali kemudian diberi lesen P. Setelah itu baharulah dapat lesen penuh.

Pengendalian radiografi perlu mengikut prosidur dan peraturan dalam negeri dan antarabangsa. Pengendalian radas penyinaran juga seumpama orang yang memiliki senjatapi yang perlu dibaharui lesennya setiap tahun. Keengganan mematuhi peraturan ini boleh membawa kita ke mahkamah atau didenda.

Di Malaysia, untuk menjadi RPO seseorang perlu menghadiri dan lulus kursus Radiografi tahap satu di Nuklear Malaysia atau Ruane-TATI yang kemudiannya pula perlu menghadiri dan lulus kursus RPO di Nuklear Malaysia.

Jawatan RPO sekarang merupakan jawatan yang diperlukan oleh banyak syarikat. Buat masa ini saya telah dimaklumkan bahawa Syarikat LJ Inspection & Services Sdn Bhd (inspect_lj@yahoo.co.uk ) dan Petropipe Sabah ( faridah@tot.com.my ) masing-masing memerlukan RPS dan RPO. RPS ialah pegawai keselamatan sinaran. Dalam carta organisasi RPS di bawah RPO tetapi mempunyai kelayakan yang sama.

Tidak ramai yang minat bekerja dengan sinaran kerana pengaruh anti-nuklear telah membelenggu pemikiran ramai orang. Jadi kepada yang suka pekerjaan yang mencabar, inilah peluangnya.

Saya sendiri telah terlibat dengan kerja radiografi sejak tahun 1979 dan begitu aktif pada era 80an dan alhamdulillah masih sihat dan mempunyai 5 anak yang sihat-sihat belaka.  Saya juga juruperunding RPO kepada banyak syarikat atau pengguna NDT. Antara salahlaku yang saya temui atau dengar  ialah;
  1. bukan pekerja sinaran berada di kawasan kawalan sinaran
  2. menyimpan projektor gama dalam kenderaan semasa bermalam di tempat penginapan
  3. tidak menggunakan meter tinjau semasa mengendali radas sinaran
  4. tidak memakai lencana filem kerana ditakuti mendapat dos berlebihan lalu tidak berpeluang untuk buat kerja lebih masa
  5. masih menggunakan projektor gama yang telah rosak
Alhamdulillah setakat ini di Malaysia belum ada kejadian dedahan dos yang serius. Dengan peraturan dan pengawasan tegas oleh penguatkuasa iaitu AELB, insyaAllah kejadian yang tidak diingini tidak berlaku.

"Berhati-hatilah ketika menggunakan radas sinaran, patuhi arahan dan prosidur"

Rabu, 17 Disember 2008

Bilik Dedahan

Bilik dedahan radiografi ialah sebuah bilik yang boleh melindung pekerja dan orang awam dari menerima dos berlebihan (dos yang dibenarkan). Ia dilengkapi dengan tanda & lampu amaran dan dikawalselia oleh pekerja sinaran berlesen. Ia juga perlu terlebih dulu mendapat pengesahan LPTA sebelum boleh digunakan.


Bilik dedahan sinar X

  • Perlu mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan mesin sinar X.
  • Mempunyai kemudahan punca elektrik dan air.
  • Jika paip, pembuluh atau kabel perlu melalui dinding bilik dedahan, laluannya perlu direka supaya tidak berlaku kebocroan sinaran.
  • Mempunyai ruang di luar bilik yang berasingan untuk menempatkan panel kawalan.
  • Dinding atau pintu perlu mempunyai ketebalan yang mencukupi dari bahan yang sesuai.
  • Perlu mempunyai pintu yang dapat menjadi perisai yang mencukupi dan suis yang boleh menghalang operasi tiub sinar X melainkan jika pintu telah ditutup sepenuhnya.
  • Pintu hendaklah juga boleh dibuka dari dalam.
  • Suis untuk mematikan operasi mesin sinar X dari dalam bilik hendaklah juga disediakan. Ini perlu bagi kes orang terperangkap dalam bilik secara tidak sengaja
  • Lampu kelipan atau penggera bunyi hendaklah digunakan bagi menunjukkan mesin sinar X sedang beroperasi.
Bilik Dedahan sinar gama
  • Perisai bilik hendaklah mencukupi.
  • Terdapat kemudahan untuk menyimpan punca bila tidak digunakan (storage pit) dan hendaklah berkunci.
  • Terdapat kemudahan untuk memuat dan mengeluarkan punca (penukaran punca).
  • Meter tinjau yang diperlukan untuk memeriksa paras dos sebelum memasuki bilik hendaklah disediakan.
  • Lantai dan siling hendaklah dapat mengurangkan sinaran terserak.
  • Pintu hendaklah boleh dibuka dari dalam dan luar.
Rekabentuk 'labyrinth' sesuai untuk bilik dedahan gama atau punca bertenaga tinggi. Rekabentuk ini boleh mengurangkan ketebalan pintu plambam yang diperlukan. Keamatan sinaran akan menyusut sehingga 0.1% bagi setiap pantulan.
Rekabentuk bumbung begini akan menyumbangkan banyak sinaran terserak.

Rabu, 19 November 2008

Kawalan Dedahan Sinaran

Semua pekerja sinaran akan terdedah kepada risiko dedahan sinaran pengionan iaitu dedahan pekerjaan. Dalam kerja-kerja radiografi industri(RI), kawalan dedahan oleh sinar x dan gama adalah merupakan perkara asas dalam keselamatan sinaran. Konsep ALARA (as low as reasonably achievable) hendaklah dipakai agar kita mendapat dedahan minimum. Pekerja RI hanya terlibat dengan dedahan luaran. Tiga prinsip asas kawalan; masa, jarak dan perisai.

1) Masa - kurangkan. Dedahan = Kadar dos x masa.

2) Jarak - jauhkan. Kadar dos menurun secara gandadua dengan jarak iaitu mengikut Hukum gandadua songsang

3) Perisai - gunakan. Sinaran akan diserapkan apabila melalui perisai mengikut hukum eksponen. Perisai dari bahan berketumpatan tinggi adalah sangat berkesan.
Bekerja dalam bilik dedahan adalah yang paling selamat. Dinding bilik dedahan biasanya dibuat dari konkrit berketumpatan tinggi (2.35 g/cc). Manakala pintu pula diperbuat dari plumbum (12.4g/cc). Rekabentuk 'labyrinth' adalah yang paling ekonomik dan praktikal.
Jika kerja radiografi perlu dilakukan di lapangan, penggunaan kolimator (dibuat dari Plumbum atau Tungsten) adalah sangat-sangat digalakkan bagi punca radiaktif.