Memaparkan catatan dengan label sinaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sinaran. Papar semua catatan

Ahad, 27 Mei 2018

Bagaimana mengurangkan dos bagi pekerja sinaran radiografi industri?

Semua pekerja sinaran akan terdedah kepada risiko dedahan sinaran pengionan. Dedahan ini dinamakan dedahan pekerjaan. Konsep ALARA (as low as reasonably achievable) dipakai bagi mengurangkan dedahan minimum.

Secara umumnya Radiografi Industri (RI) merupakan pekerja yang paling banyak menerima dos sinaran berbanding pekerja dalam sektor lain. Ini disebabkan kebanyakan kerja RI dilakukan di lapangan menggunakan punca yang berkeamatan dan tenaga yang tinggi.

Pekerja hanya terlibat dengan dedahan luaran dari sinaran gama dan X. Kawalan sinaran dibuat melalui 3 prinsip utama:

  • Masa
  • Jarak
  • Perisai
Dos sinaran boleh direndahkan dengan cara mengurangkan masa pendedahan.  Penggiliran jadual kerja kepada pekerja sinaran adalah cara yang cukup efektif.

Berada jauh dari punca sinaran semasa dedahan juga dapat mengurangkan dos. Sinaran berkurang secara songsang dengan ganda dua jarak. Contoh jika jarak diubah dari 1m kepada 2m, sinaran mengurang sebanyak 4 kali ganda.

Manakala perisai pula dapat mengurangkan dos sinaran secara eksponen dengan ketebalan perisai. Malangnya perisai yang efektif mempunyai ketumpatan yang tinggi dan berat untuk dibawa.  Bahan perisai yang biasa digunakan bagi projektor gama, penukar punca dan kolimator ialah depleted uranium. Plambam pula digunakan untuk pintu bilik dedahan, kolimator, lead pot dan lain-lain kegunaan termasuk semasa kecemasan.  Kepingan plambam antara perisai mudahalih yang biasa dipakai.  Memegangnya hendaklah menggunakan sarung kerana plambam adalah logam berat yang beracun kepada manusia.

Walaupun pasir dan air adalah bahan ringan tetapi ia juga boleh digunakan sebagai perisai kerana mudah untuk dikendalikan. Pasir pernah digunakan oleh Agensi Nuklear Malaysia untuk membina mobile hot cell. Manakala air digunakan sebagai perisai punca neutron dan gama dalam kebanyakan reaktor nuklear.

Antara syor penulis bagi mengurangkan dos pekerja sinaran RI yang boleh difikirkan bersama ialah seperti berikut;
1- Pengurusan sumber manusia. Penggiliran jadual pekerja dalam megurangkan kadar dos individu melalui perkongsian dos. Masalah yang dihadapi sekarang ialah kekurangan pekerja. Antara sebab utama kekurangan pekerja sinaran berlesen ialah peratus kelulusan peperiksaan bagi mendapat lesen tersangat rendah. Di Australia (198an), pekerja sinaran hanya perlu menghadiri kursus keselamatan sinaran dan semua akan mendapat sijil kehadiran dan layak untuk bekerja dengan sinaran.

2- Penggunaan keamatan sinaran yang rendah juga diamalkan di negara maju seperti Jepun. Jepun menghadkan 20 Ci Iridium-192 bagi kerja lapangan.

3- Penggunaan tenaga sinaran rendah seperti Selenium-75 dan mesin sinar-X. Kebanyakan aktiviti radiografi di Malaysia tidak memerlukan punca sinaran dengan tenaga yang tinggi. Bagi ketebalan keluli 10mm ke bawah penggunaan punca Ir-192 adalah tidak sesuai kerana kualiti imej radiograf  yang rendah dan tidak memenuhi kebanyakan standard (contohnya ASME V, dll). Ir-192 mempunyai tenaga sinaran yang lebih tinggi berbanding sinar-X (bawah 300kV) dan Se-75.

4- Adat kebiasaan membuat kerja radiografi hanya di waktu malam juga didapati menyusahkan dan tidak sehat dari segi rohani dan jasmani. Malam ialah waktu tidur dan rehat bukannya waktu bekerja. Natijahnya tiada kecekapan bekerja.

5- Penggunaan kolimator dan perisai atau bunker sementara dapat memendekkan jarak selamat.  Bunker sementara boleh dibina menggunakan blok-blok konkrit atau guni pasir atau lubang 'kubur' digali untuk membuat dedahan selamat umpama kubu yang dibina askar semasa perang. SIRIM dan Nuklear Malaysia telah menggunakan blok konkrit interlock bagi bunker sementara (semi-open site) untuk tujuan latihan radiografi industri.

Pandangan dan komen lain dialu-alukan bagi kebaikan bersama.



Rabu, 27 Januari 2010

Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO)


Pengendalian radas sinaran dalam kerja radiografi memerlukan orang yang berkelayakan iaitu perlu menghadiri kursus dan lulus ujian kelayakan serta mempunyai tempoh pengalaman kerja. setelah itu baharu ia digelar pengendali berlesen. Ia seumpama pemandu kereta yang perlu lulus ujian teori dan amali kemudian diberi lesen P. Setelah itu baharulah dapat lesen penuh.

Pengendalian radiografi perlu mengikut prosidur dan peraturan dalam negeri dan antarabangsa. Pengendalian radas penyinaran juga seumpama orang yang memiliki senjatapi yang perlu dibaharui lesennya setiap tahun. Keengganan mematuhi peraturan ini boleh membawa kita ke mahkamah atau didenda.

Di Malaysia, untuk menjadi RPO seseorang perlu menghadiri dan lulus kursus Radiografi tahap satu di Nuklear Malaysia atau Ruane-TATI yang kemudiannya pula perlu menghadiri dan lulus kursus RPO di Nuklear Malaysia.

Jawatan RPO sekarang merupakan jawatan yang diperlukan oleh banyak syarikat. Buat masa ini saya telah dimaklumkan bahawa Syarikat LJ Inspection & Services Sdn Bhd (inspect_lj@yahoo.co.uk ) dan Petropipe Sabah ( faridah@tot.com.my ) masing-masing memerlukan RPS dan RPO. RPS ialah pegawai keselamatan sinaran. Dalam carta organisasi RPS di bawah RPO tetapi mempunyai kelayakan yang sama.

Tidak ramai yang minat bekerja dengan sinaran kerana pengaruh anti-nuklear telah membelenggu pemikiran ramai orang. Jadi kepada yang suka pekerjaan yang mencabar, inilah peluangnya.

Saya sendiri telah terlibat dengan kerja radiografi sejak tahun 1979 dan begitu aktif pada era 80an dan alhamdulillah masih sihat dan mempunyai 5 anak yang sihat-sihat belaka.  Saya juga juruperunding RPO kepada banyak syarikat atau pengguna NDT. Antara salahlaku yang saya temui atau dengar  ialah;
  1. bukan pekerja sinaran berada di kawasan kawalan sinaran
  2. menyimpan projektor gama dalam kenderaan semasa bermalam di tempat penginapan
  3. tidak menggunakan meter tinjau semasa mengendali radas sinaran
  4. tidak memakai lencana filem kerana ditakuti mendapat dos berlebihan lalu tidak berpeluang untuk buat kerja lebih masa
  5. masih menggunakan projektor gama yang telah rosak
Alhamdulillah setakat ini di Malaysia belum ada kejadian dedahan dos yang serius. Dengan peraturan dan pengawasan tegas oleh penguatkuasa iaitu AELB, insyaAllah kejadian yang tidak diingini tidak berlaku.

"Berhati-hatilah ketika menggunakan radas sinaran, patuhi arahan dan prosidur"