Selasa, 21 Ogos 2007

Pengenalan kepada struktur konkrit

Binaan konkrit mungkin telah bermula sejak zaman Mesir purba dengan penggunaan lumpur sebagai bahan pengikat (simen) untuk mengikat batu dan bata (Mindness & Young 1981). Binaan ini hanya sesuai untuk cuaca yang sangat kering yang mana tanah liat dan bata yang tidak dibakar akan mudah ditelapi air. Kini kebanyakan struktur konkrit dibina menggunakan simen Portland yang ditemui oleh Joseph Aspdin pada tahun 1824. Penggunaan konkrit sebagai bahan binaan telah banyak mengambil tempat bahan binaan tradisional seperti kayu. Ia bukan sahaja menghasilkan struktur yang kukuh malah tahan lama dengan kos yang lebih murah. Konkrit telah banyak digunakan dalam kerja kejuruteraan awam termasuk bangunan, jambatan, empangan, terowong, menara-menara dan sebagainya. Akibat penggunaan yang luas, penilaian kualiti konkrit menjadi penyelidikan yang penting di masa kini. Penilaian tidak merosakkan ke atas konkrit telah mula dibincangkan secara menyeluruh dalam Prosiding Persidangan yang diadakan oleh Institut Kejuruteraan Awam (UK) pada tahun 1969.

Kini terdapat dua bahan yang biasa digunakan pada struktur binaan ; konkrit dan keluli. Kedua-dua bahan ini ada kalanya saling memerlukan di antara satu sama lain dan pada ketika lain bersaing di antara kedua-duanya. Binaan paip penghantar gas, loji pemprosesan, loji janakuasa dan pelantar minyak banyak menggunakan keluli. Manakala bangunan, terowong, jambatan dan empangan pula lebih banyak menggunakan konkrit sebagai struktur binaan. Paip penghantar gas yang terkini pula dibaluti konkrit bagi mengurangkan proses kakisan pada keluli (Mohd. Lokman 1992).

Meskipun penggunaan konkrit begitu luas, tetapi pekerja di binaan kurang kurang diberi pendedahan tentang teknologi konkrit jika dibandingkan dengan keluli. Secara amali, pekerja-pekerja di lapangan sepatutnya memerlukan pengetahuan yang lebih tentang konkrit berbanding dengan keluli. Ini disebabkan keluli dibuat di loji yang canggih dalam keadaan yang terkawal. Dengan ini di lapangan kualiti yang berkaitan dengannya yang penting untuk dikawal hanyalah yang berkaitan dengan proses kimpalan. Keadaan ini sangat berbeza dengan konkrit yang mana kebanyakannya dibuat di lapangan. Walaupun konkrit dengan kualiti tertentu boleh diperolehi dari pembekal siap-bancuh, tetapi penghantaran, perletakan dan pemadatan sangat mempengaruhi hasil akhir. Mutakhir ini kita lebih banyak mendengar berita-berita kemalangan yang melibatkan binaan konkrit jika dibandingkan dengan binaan keluli. Oleh itu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini sangat diperlukan oleh para pereka bentuk, pembuat spesifikasi, kontraktor dan pembekal kerana kemahiran mereka akan menentukan tahap kualiti struktur konkrit yang dibina.

Tiada ulasan: