Sabtu, 30 Januari 2010

Rekabentuk bancuhan konkrit

Konkrit ialah bahan komposit yang terdiri dari bahan pengikat yang mengikut antara partikel lengai. Pengikat ialah air dan simen. Partikel lengai ialah agregat pasir dan batu. Agregat mengambil ruang 75%. Bagi mortar agregat ialah pasir (saiz < 5mm). Bagi konkrit agregat ialah pasir dan agegat kasar (10mm atau  20mm atau 40mm). Di Malaysia agregat halus ialah pasir sungai atau pasir lombong. Agregat kasar ialah batu sungai atau pecahan batu granit.
Bancuhan mudah ialah kaedah nisbah berat, juga dikenali kaedah JKR ialah nisbah 1:1:2 (kekuatan 28 hari 30 N/mm2), 1:1.5:3 (kekuatan 28 hari 25N/mm2), 1:2:4 (kekuatan 28 hari 20N/mm2) atau 1:3:6 (kekuatan 28 hari 12 N/mm2). Contohnya nisbah 1:2:4 ialah 1 kuantiti simen, 2 pasir dan 3 batu baur. Air biasanya 0.55 simen.
Untuk kerja-kerja rumah nisbah 1:2:4 sudah memadai. Penggunaan nisbah agregat kasar yang lebih banyak boleh menjimatkan penggunaan simen.
Bancuhan boleh dibuat secara manual atau mesin. Untuk kaedah manual, kaedah mudah yang dipakai untuk menggaul pasir, batu dan simen ialah kaedah membina bukit.

Rabu, 27 Januari 2010

Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO)


Pengendalian radas sinaran dalam kerja radiografi memerlukan orang yang berkelayakan iaitu perlu menghadiri kursus dan lulus ujian kelayakan serta mempunyai tempoh pengalaman kerja. setelah itu baharu ia digelar pengendali berlesen. Ia seumpama pemandu kereta yang perlu lulus ujian teori dan amali kemudian diberi lesen P. Setelah itu baharulah dapat lesen penuh.

Pengendalian radiografi perlu mengikut prosidur dan peraturan dalam negeri dan antarabangsa. Pengendalian radas penyinaran juga seumpama orang yang memiliki senjatapi yang perlu dibaharui lesennya setiap tahun. Keengganan mematuhi peraturan ini boleh membawa kita ke mahkamah atau didenda.

Di Malaysia, untuk menjadi RPO seseorang perlu menghadiri dan lulus kursus Radiografi tahap satu di Nuklear Malaysia atau Ruane-TATI yang kemudiannya pula perlu menghadiri dan lulus kursus RPO di Nuklear Malaysia.

Jawatan RPO sekarang merupakan jawatan yang diperlukan oleh banyak syarikat. Buat masa ini saya telah dimaklumkan bahawa Syarikat LJ Inspection & Services Sdn Bhd (inspect_lj@yahoo.co.uk ) dan Petropipe Sabah ( faridah@tot.com.my ) masing-masing memerlukan RPS dan RPO. RPS ialah pegawai keselamatan sinaran. Dalam carta organisasi RPS di bawah RPO tetapi mempunyai kelayakan yang sama.

Tidak ramai yang minat bekerja dengan sinaran kerana pengaruh anti-nuklear telah membelenggu pemikiran ramai orang. Jadi kepada yang suka pekerjaan yang mencabar, inilah peluangnya.

Saya sendiri telah terlibat dengan kerja radiografi sejak tahun 1979 dan begitu aktif pada era 80an dan alhamdulillah masih sihat dan mempunyai 5 anak yang sihat-sihat belaka.  Saya juga juruperunding RPO kepada banyak syarikat atau pengguna NDT. Antara salahlaku yang saya temui atau dengar  ialah;
  1. bukan pekerja sinaran berada di kawasan kawalan sinaran
  2. menyimpan projektor gama dalam kenderaan semasa bermalam di tempat penginapan
  3. tidak menggunakan meter tinjau semasa mengendali radas sinaran
  4. tidak memakai lencana filem kerana ditakuti mendapat dos berlebihan lalu tidak berpeluang untuk buat kerja lebih masa
  5. masih menggunakan projektor gama yang telah rosak
Alhamdulillah setakat ini di Malaysia belum ada kejadian dedahan dos yang serius. Dengan peraturan dan pengawasan tegas oleh penguatkuasa iaitu AELB, insyaAllah kejadian yang tidak diingini tidak berlaku.

"Berhati-hatilah ketika menggunakan radas sinaran, patuhi arahan dan prosidur"

Selasa, 21 Julai 2009

MINDTCE'09: 20~21 Julai

Seperti yang telah dirancang, alhamdulillah persidangan peringkat antarabangsa ini telah berjaya diadakan secara anjuran bersama MSNT, Petronas, SIRIM, Nuklear Malaysia dan ASCOPE. Hari pertama persidangan telah dibuka dengan rasmi oleh En. Colin Wong, Naib Presiden, Penyelidikan dan Teknologi Petronas. Ucaptama kemudian disampaikan oleh Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi Kumpulan UEM Berhad. Beliau menceritakan pengalaman dan penglibatan beliau pada peringkat awal dalam NDT. Selain merupakan presiden pertama MSNT, beliau juga membantu dalam mempromosi latihan dan persijilan personel NDT. Beliau juga pernah bekerja dengan IAEA dan terlibat dalam promosi penggunaan teknik nuklear dan NDT di kawasan Asia Pasifik. Pemegang ijazah pertama kelas pertama dan satu-satunya jurutera nuklear terawal di Malaysia beliau pernah bekerja dengan LLN, PUSPATI, SIRIM, TNB, Gas Malaysia. Sesuatu yang agak menyentuh perasaanku ialah beliau sempat menyebutkan namaku dalam ucapannya. Rupanya beliau masih mengingati namaku yang pernah sama-sama bekerja dengannya di PUSPATI dan MSNT. Sebagai mengenang jasa beliau dalam penglibatan MSNT, pihak MSNT dengan rasa bangga menanugerahkan beliau 'Honorary Member'. Sesi pertama dimulakan dengan kertas kerja oleh pembentang jemputan Baldev Raj dari Indira Gandhi Centre for Atomic Research, India. Beliau merupakan tokoh lama NDT. Tokoh lama termasuklah Mr. Thompson ICNDT/BINDT, David Barnett AINDT, Nardoni Italy. Sememangnya persidangan ini bertaraf antarabangasa dengan ramai penglibatan peserta luar negara. Kertas kerja yang dibentang pun bertaraf antarabangsa dan mencabar minda. Keseluruhan peserta dianggarkan sekitar 280 orang, 65 ialah peserta luar negara.

Pendaftaran
Tan Sri DrAhmad Tajuddin menerima sijil 'honorary member' dari presiden MSNT.

Ruang sidang

Ruang pameran
Sebanyak 19 syarikat pembekal peralatan dan pengguna NDT telah menyertai pameran.
1. NDT Instruments Sdn Bhd (Malaysia)
2. Danamin (M) Sdn Bhd (Malaysia)
3. Advance Allience Sdn Bhd (Malaysia)
4. Petronas Technology Group Solution (Malaysia)
5. Matrix Innovation (M) Sdn. Bhd (Malaysia)
6. Altec Industrial and Engineering Supply (Malaysia)
7. Gamatec Aseana NDT Supplies Sdn. Bhd (Malaysia)
8. Edaran Prestasi Sdn Bhd (Malaysia)
9. Agensi Nuclear Malaysia (Malaysia)
10. SIRIM Bhd (Malaysia)
11. XSPEC Technology Sdn Bhd (Malaysia)
12. MSI Technologies Malaysia Sdn Bhd (Malaysia)
13. Petrotechnical inspection (M) Sdn Bhd (Malaysia)
14. Foma Bohemia Ltd (Czeck Republic)
15. Modsonic instruments mfg co (p) (India)
16. Starman Electronic Ltd (Czeck Republic)
17. Starik International (Canada)
18. Russel NDE System Inc (Canada)
19. Electronic and engineering Co (i) Pte Ltd (India)
Royce menerangkan sesuatu tentang syarikatnya Advance Alliance/GE.

Isac (Canada) dan David (Australia)

Pengimbas UT

Mesin sinar-X

Persidangan sedang berjalan.

Nardoni (Italy) menerima sijil penyertaan dari Pn Norasiah.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan persidangan. Penglibatan orang muda dari Nuklear Malaysia, SIRIM dan Instep, Petronas sebagai pengurus acara patut dipuji. Hebahan dan promosi oleh MSNT, ASCOPE, AINDT, ASNT, dll persatuan NDT seperti yang dapat dilihat jika kita buat carian google telah memasyhurkan persidangan ini. Tahniah semua !!!

Isnin, 4 Mei 2009

Mesyuarat Agung ke 20 MSNT

Alhamdulillah mesyuarat agung ke 20 MSNT telah berjaya diadakan pada 29/4/09 dari jam 0830 hingga 1230 di bilik seminar, Agensi Nuklear Malaysia, Bangi. Lebih 50 ahli telah hadir. Jurnal NDT Spectra telah juga diedarkan kepada ahli. Antara isu hangat yang dibincangkan ialah;
  1. Persidangan NDT (MINDTCE09)
  2. Masaalah ketepatan UTTG
  3. Persijilan NDT kebangsaan
  4. Latihan industri pelajar
Lebih 50 kertas kerja untuk persidangan NDT telah diterima. Bagaimanapun hanya 27 diterima untuk pembentangan. Selebihnya akan dijadikan poster. Semua 10 ruang pameran telah habis ditempah. Ruang pameran ini dibuka secara PERCUMA kepada semua orang. Jemputlah semua datang untuk melihat peralatan dan teknologi baru NDT.
Kajian ketepatan UTTG sedang berjalan. SIRIM mengambil inisiatif dengan dibantu Petronas. Round Robin test sekitar lembah Kelang sudah dilaksanakan. Ujian seterusnya akan dilakukan di Johor Baru dan Pantai Timur.
Menurut kod Amerika ASME terbaru, pengiktirafan penguji NDT telah diluaskan kepada sesiapa yang telah layak dalam persijilan kebangsaan sesebuah negara dan bukan hanya terhad kepada SNT. JPK dijangka akan mendapat pengiktirafan ISO17024 pada tahun 2010 bagi membolehkan sijilnya diiktiraf seluruh dunia.
Bagi mengatasi pengangguran pelajar Universiti, kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif untuk program latihan pelajar. Pusat latihan NDT boleh mengambil lebih ramai pelajar yang dibiayai kerajaan untuk tujuan latihan kemahiran.

Khamis, 19 Februari 2009

MINDTCE09, Legend Hotel, 20-21 July 2009

Malaysia International NDT conference and Exhibition (MINDTCE 09) akan diadakan pada 20-21 Julai 2009 di hotel Legend, KL. Persidangan ini ialah anjuran bersama Petronas, MSNT, SIRIM, Agensi Nuklear Malaysia dan ASCOPE.

Sehingga kini (1 J'awal) sebanyak 45 kertas kerja telah diterima dari dalam dan luar negara. Kertas kerja atau poster masih dialu-alukan, tarikh akhir menghantar abstrak dan kertas penuh masing-masing ialah 28/2/09 dan 28/4/09. Sila e-mail kepada nama berikut;
  1. Kertas kerja/poster - Dr. Abd Nassir (nassir@nuclearmalaysia.gov.my) atau Dr. Badrol (badrol@tnbr.com.my)
  2. Ruang pameran - Hj Huzeir (itc@intestmal.com )
  3. Penajaan - En. Zamaluddin (zamaluddin_ali@petronas.com.my)
  4. Penyertaan - Pn. Siti Madiha (madiha_amir@nuclearmalaysia.gov.my)
  5. Penginapan - En. Mohd. Najib (najibah@petronas.com.my)
Yuran penyertaan : ahli MSNT RM1200, bukan ahli RM1500: ruang pameran 3m x 3m =RM5000

Jumaat, 16 Januari 2009

Kecacatan dalam besi keluli

Besi adalah merupakan bahan utama dalam pembinaan dan pembuatan. Besi yang mempunyai pelbagai kegunaan juga disebut dalam al-Quran dalam surah al-hadid ayat 25. Al-hadid bermakna besi, ada surah khusus untuk besi dalam al-Qur'an. Teknologi pembuatan besi memang sudah lama, tapi malangnya teknologi ini sekarang sudah tidak lagi dipelopori oleh orang Islam.

"25] Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-hadid)".

Dalam proses pembuatan besi/keluli, kita tidak dapat mengelakkan dari berlakunya ketakselanjaran atau ketaksempurnaan. Secara umum semua makhluk ciptaan Ilahi mempunyai ketakselanjaran. Manusia sendiri mempunyai ketaksempurnaan. Manusia yang paling sempurna hanyalah Nabi Muhammad saw.

Ketakselanjaran ditakrifkan sebagai suatu yang terputus atau terganggu dalam struktur bahan yang biasa. Ketakselanjaran dalam logam boleh jadi lubang, keporosan, retakan, bendasing atau apa-apa yang memutuskan keselanjaran. Ianya boelh berada di permukaan atau dalam logam tersebut. Ianya juga memberi kesan kepada kebergunaan sesuatu produk.

Jika ketakselanjaran tidak dapat diterima oleh kod, standad atau spesifikasi maka kita katakan kecacatan. NDT boleh menunjukkan petanda kehadiran ketakselanjaran.

3 kategori ketakselanjaran
Ketakselanjaran warisan – iaitu yang dijumpai dalam ingot.
Ketakselanjaran prosesan - umpamanya ketakselanjaran dari proses-proses tuangan, tempaan, gelekan, kimpalan, canaian, rawatan haba dan saduran.
Ketakselanjaran terhasil oleh perkhidmatan seperti retakan, kakisan, hakisan, kehausan, herotan dll.

Rabu, 17 Disember 2008

Bilik Dedahan

Bilik dedahan radiografi ialah sebuah bilik yang boleh melindung pekerja dan orang awam dari menerima dos berlebihan (dos yang dibenarkan). Ia dilengkapi dengan tanda & lampu amaran dan dikawalselia oleh pekerja sinaran berlesen. Ia juga perlu terlebih dulu mendapat pengesahan LPTA sebelum boleh digunakan.


Bilik dedahan sinar X

  • Perlu mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan mesin sinar X.
  • Mempunyai kemudahan punca elektrik dan air.
  • Jika paip, pembuluh atau kabel perlu melalui dinding bilik dedahan, laluannya perlu direka supaya tidak berlaku kebocroan sinaran.
  • Mempunyai ruang di luar bilik yang berasingan untuk menempatkan panel kawalan.
  • Dinding atau pintu perlu mempunyai ketebalan yang mencukupi dari bahan yang sesuai.
  • Perlu mempunyai pintu yang dapat menjadi perisai yang mencukupi dan suis yang boleh menghalang operasi tiub sinar X melainkan jika pintu telah ditutup sepenuhnya.
  • Pintu hendaklah juga boleh dibuka dari dalam.
  • Suis untuk mematikan operasi mesin sinar X dari dalam bilik hendaklah juga disediakan. Ini perlu bagi kes orang terperangkap dalam bilik secara tidak sengaja
  • Lampu kelipan atau penggera bunyi hendaklah digunakan bagi menunjukkan mesin sinar X sedang beroperasi.
Bilik Dedahan sinar gama
  • Perisai bilik hendaklah mencukupi.
  • Terdapat kemudahan untuk menyimpan punca bila tidak digunakan (storage pit) dan hendaklah berkunci.
  • Terdapat kemudahan untuk memuat dan mengeluarkan punca (penukaran punca).
  • Meter tinjau yang diperlukan untuk memeriksa paras dos sebelum memasuki bilik hendaklah disediakan.
  • Lantai dan siling hendaklah dapat mengurangkan sinaran terserak.
  • Pintu hendaklah boleh dibuka dari dalam dan luar.
Rekabentuk 'labyrinth' sesuai untuk bilik dedahan gama atau punca bertenaga tinggi. Rekabentuk ini boleh mengurangkan ketebalan pintu plambam yang diperlukan. Keamatan sinaran akan menyusut sehingga 0.1% bagi setiap pantulan.
Rekabentuk bumbung begini akan menyumbangkan banyak sinaran terserak.